Penyanyi dan pelakon wanita Haleeda enggan mengulas berhubung kisah peribadi dan rumah tangganya apabila dikatakan berkahwin di negara jiran, Thailand pada tahun 2011.
Haleeda atau nama sebenar Halida Mazlin, 40, berkata dia kembali semula ke dunia seni bagi mengubati kerinduan selepas tiga tahun menyepi dan ingin mengelak kisah peribadi dibangkitkan.
"Maaf, kisah rumah tangga saya tidak menarik untuk diceritakan kepada umum.
"Saya terima tawaran berlakon semula kerana sudah beberapa kali dipujuk oleh pihak produksi, lagi pula hati saya tiba-tiba terbuka untuk terima tawaran berlakon," katanya.
Penyanyi Haleeda |
Bagaimanapun, sehingga kini Haleeda masih belum mendedahkan identiti sebenar suaminya.
Jelas Haleeda, selama tiga tahun menyepi, dia memilih untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa dan menjaga anak tunggalnya, Amirah Amini Azman yang kini berusia 18 tahun.
"Saya tidak buat apa-apa hanya sepenuh masa sebagai suri rumah, lagi pula anak saya bersekolah dan memerlukan tumpuan yang banyak, sekarang dia sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Ini pun dia yang suruh saya berlakon semula dan ingin melihat saya di televisyen," katanya.Bercerita tentang penghijrahan imej terbaharunya iaitu bertudung, Haleeda mengakui banyak batas yang perlu dijaga.
"Saya mula bertudung sejak tiga tahun lalu, saya akui tidak banyak watak yang sesuai dengan pelakon bertudung. Saya juga mahu watak yang sesuai dengan penampilan saya sekarang.
"Kalau boleh biarlah watak yang sopan juga," katanya.Jelas Haleeda kemunculan semula selepas tiga tahun menyepi sedikit sebanyak mengubat kerinduan dirinya terhadap bidang lakonan.
Bagaimanapun, dia tidak meletakkan bidang seni ini sebagai punca pendapatan seperti suatu masa dahulu.
Haleeda membintangi drama bersiri berjudul Bangkitnya Seorang Perempuan pada slot Samarinda yang telah disiarkan bermula pada Rabu lalu.
0 Responses to Gosip Artis Terkini - Haleeda Enggan Dedahkan Kisah Rumah Tangga