Dua tahun melayari kehidupan sebagai anak seni bukan mudah sebenarnya bagi si cantik kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.
Mengakui sentiasa dihimpit pelbagai persoalan, tohmahan dan kontroversi, juara Dewi Remaja 2010/2011 ini akur kerana perjalanan kariernya tidak seindah diharapkan.
Namun, 2013 diharap dapat memberi wajah baru kepadanya. Bagi Noor Neelofa Mohd Noor atau nama pentasnya, Neelofa, biarlah tahun ini menjadi saksi kepada perkembangan karier berbanding kisah peribadinya.
Berbicara mengenai kerjayanya sebagai pelakon, ada desas-desus mengatakan gadis berusia 23 tahun ini tidaklah sehebat mana dalam bidang lakonan, sebaliknya hanya berbekal kepada paras rupa sahaja.
Menjawab mengenai perkara ini, bintang filem Azura ini memberitahu, dia tidak pernah kisah dengan tanggapan atau pandangan orang selama ini.
“Sudah menjadi lumrah dalam dunia seni, apa sahaja yang dilakukan seseorang itu akan menjadi tumpuan sama ada perkara baik atau tidak yang dilakukan kita, ada sahaja yang akan dikatakan.
“Begitu juga dengan saya, dari awal pembabitan dalam bidang ini, pelbagai khabar angin dan cakap orang mengenai saya, saya dengari, apa pun, saya perlu positif dan menjadikan semua ini sebagai motivasi,” katanya segala kritikan yang diterima menguatkan lagi dirinya untuk terus pergi jauh dalam bidang ini.
Katanya yang lebih mesra disapa Lofa, apa yang berlaku sepanjang tahun lalu juga dijadikan pengalaman dan bekalan masa akan datang.
“Saya tidak pernah kesal atas apa yang berlaku, semua perkara ini tidak akan saya lakukan lagi.
“Biarlah ia menjadi sejarah dalam lipatan hidup saya, sebagai manusia saya juga tidak terlepas dari melakukan silap.
“Alhamdulillah, nampaknya kini saya semakin bersih dari semua kontroversi dan saya perlu mengekalkan semua itu,” kata gadis berdarah campuran Melayu, Pakistan dan Arab ini.
Hilang arah?
Bukan sahaja berbakat dalam bidang lakonan, malah empunya diri juga tidak sangka diberi kepercayaan untuk melebarkan sayapnya dalam bidang ini sehingga dilamar menjadi pengacara.
Bermula dengan rancangan Nona bergandingan bersama pengacara popular, Fara Fauzana dan kini MeleTOP, bersama pelawak terkenal Nabil Ahmad, anak ketiga daripada sembilan beradik ini mengakui dia lebih selesa bergelar pengacara.
Pun begitu, apa yang menjadi persoalan, di manakah fokus pelakon Kau Yang Terindah ini?
Belum pun sempat menunjukkan kemampuan menjadi pelakon, dia kini sudah beralih kepada mengacara pula. Ditanya mengenai perkara ini, akui Lofa, tidak timbul soal hilang arah apabila dia memilih untuk menjadi pengacara di samping seorang pelakon.
Jelasnya, cabang seni yang luas dan subjektif memberi ruang kepadanya untuk mencuba pelbagai aspek sebagai anak seni.
“Dari kecil saya sudah bercita-cita bergelar pengacara, ketika menyertai Dewi Remaja, itulah matlamat utama saya, bagaimana pun, tawaran berlakon datang dahulu.
“Jadi, saya membuat keputusan untuk menerimanya, lagi pun untuk apa saya menolak rezeki yang datang,” bicaranya yang pernah membintangi drama Tahajud Cinta, Kasih Najihah dan Kitab Cinta ini.
Ditanya, apakah dia sudah cukup berpuas hati kerana impiannya menjadi pengacara tercapai, kata Lofa, kepuasan bukan menjadi ukuran jika melakukan sesuatu itu.
“Apa yang penting ia beroleh kejayaan, jika saya bergelar pengacara sekali pun, namun kerja saya tidak bagus, untuk apa. Saya lebih senang jika semua tugasan yang diberikan berjalan dengan lancar dan disukai penonton,” katanya penuh yakin.
Rebut peluang
Dalam pada itu, melihat kepada perkembangannya sebagai pendatang baru dalam bidang lakonan, Lofa juga bukanlah calang-calang kerana dia sering menjadi pilihan pengarah untuk dijadikan heroin dalam filem mereka selain menjadi teraju utama bagi segelintir drama popular tempatan.
Berkongsi mengenai perkara ini, kata Lofa, dia sebenarnya tidak pernah memilih sama ada membintangi filem atau pun drama.
“Saya masih baru dan pengalaman saya sangat sedikit sebagai pelakon, ruang yang ada saya gunakan sebaiknya untuk belajar dari satu episod ke episod yang lebih baik.
“Walau pun watak yang diberikan adakala sebagai pembantu sahaja, namun bagi saya ia penting kerana mampu mengasah keupayaan saya dalam bidang ini.
“Cuma, jika skrip yang diberikan tidak sesuai dengan saya, barulah saya tolak,” ujar Lofa, dia perlu membahagikan masa dengan baik sebagai pelakon dan pengacara.
Bercerita perihal itu, katanya, dia bukanlah seorang yang akan mengaut semua tawaran yang diterimanya.
“Saya hanya melakukan apa yang termampu sahaja. Jika saya sudah mempunyai komitmen untuk drama atau filem lain, saya tidak akan sesekali menyusahkan diri saya terkejar ke sana dan ke mari.
“Lagi pun pada hujung minggu saya akan fokus Nona dan MeleTOP. Pada masa sama, saya juga perlu berikan perhatian kepada pelajaran, keluarga dan perniagaan yang diusahakan, jadi adalah lebih baik saya tidak tamak,” katanya perniagaan produk kecantikan, Bella Vista miliknya dan keluarga semakin berkembang.
Cinta anak jutawan?
Sering dihimpit pelbagai persoalan mengenai kisah peribadinya, Lofa bagaimana pun mengakui, dia lebih selesa berdiam diri apabila diajukan tentang perkara itu.
Baginya, baik hubungannya bersama pengarah terkenal, Hans Isaac dan lelaki lain yang di gembar - gemburkan, tidak memberi sebarang kesan terhadap kariernya.
“Ketika ini tidak perlulah saya membuka cerita mengenai hubungan saya dengan mana-mana lelaki, lagi pun, bila orang tahu atau nampak saya dengan sesiapa, mereka akan bercakap juga.
“Jadi, sama ada mereka percaya atau tidak apa yang saya katakan, itu sudah tidak penting lagi,” jelas pelakon Lemak Kampung Santan, SAM dan Taiko ini.
Diusik mengenai kisah terbarunya bersama seorang anak jutawan, Lofa hanya ketawa. Katanya, dia tidak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul.
“Saya tidak ada hubungan dengannya dan semua ini mengarut,” ujar Lofa yang bagaikan sudah lali dengan cerita-cerita sebegini.
Dalam pada itu, apabila ditanya adakah gosip yang melanda menjejaskan kerjayanya, akui Lofa, dia masih menerima pelbagai tawaran lakonan dan menjadi pengacara sehingga ke hari ini.
“Rasanya, semua itu tidak menjadikan kerjaya saya ketinggalan di belakang, pun begitu saya gembira dan bersyukur sangat kerana tahun ini lebih banyak kerja yang saya terima,” katanya bakal memulakan penggambaran filem terbarunya bermula Mac nanti.
0 Responses to Neelofa tak layan gosip murahan – Gosip Artis