PUTERI MELAYU YANG DILUPAKAN. Part 1

Google Adsense Code Here/Ad

PUTERI MELAYU YANG DILUPAKAN. Part 1

Monday, 18 November 2013 | Tags:
Digg it | Stumble it | Save to Del.ico.us

Buku 101 Puteri Dunia Melayu - Sejarah dan Legenda.
Riwayat sejarah di negeri Kelantan ada menyebut tentang kisah seorang puteri raja yang sangat masyhur namanya di bumi Semenanjung Tanah Melayu. Suatu ketika dahulu, puteri Melayu ini bukan sahaja telah mengangkat martabat bangsa Melayu di mata dunia, malah baginda juga turut berjaya membuktikan kemampuan kaum wanita ketika di medan perang mahupun dalam seni mempertahankan diri.

Demi mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Semenanjung Tanah Melayu dari dijajah oleh pihak musuh, puteri Melayu ini telah bertindak memenggal kepala salah seorang raja Siam (Thai) yang zalim. Ini sekaligus menjadikan nama baginda begitu gah dalam sejarah bangsa Melayu.

Walau bagaimanapun, kebanyakan rakyat Malaysia hari ini TIDAK lagi mengenali puteri Melayu ini. Lebih memilukan, sejarah hidup dan pengorbanan besar puteri Melayu ini hampir dilupakan oleh bangsa Melayu itu sendiri. Ada yang mengatakan, terdapat pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu melenyapkan nama puteri Melayu ini dari catatan sejarah demi kepentingan mereka.

Syabas diucapkan kepada Nisriwani Yahaya, Syed Zulflida S.M. Noor dan Dato’ Dr. Adi Haji Taha. Ketiga-tiga tokoh dari Malaysia ini telah mengambil inisiatif untuk mengumpul dan menyusun kembali kisah-kisah riwayat dan sejarah hidup puteri Melayu kebanggaan bangsa kita ini.

Semoga hasil usaha mereka akan dapat mengharumkan kembali nama puteri Melayu ini sebelum ianya luput dari ingatan anak cucu bangsa Melayu di masa akan datang. Berikut adalah kisahnya...

PENGENALAN
Adruja Wijayamala Singa.
Adruja Wijayamala Singa (1335-1345 Masihi) berasal dari Grahi - sebuah negara kota dan negara persekutuan Melayu yang terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu. Baginda merupakan puteri kesayangan kepada Raja Sang Tawal atau Sultan Muhammad (1267-1335), Maharaja Grahi yang ketiga. Tahun kelahiran dan nama bonda puteri Melayu ini tidak diketahui. Adruja dilahirkan dan membesar di Kota Grahi, iaitu ibu kota kerajaan Grahi.

Adruja mempunyai empat orang saudara kandung, iaitu dua lelaki dan dua perempuan. Mereka ialah Raja Bharubhasa, Raja Singhadiraja, Puteri Cendana dan Puteri Linang Cahaya. Oleh kerana Adruja memiliki sifat keperibadian yang tegas dan garang, rakyat Grahi yang berketurunan Melayu-Hindu telah menggelar puteri Melayu ini sebagai ‘Dewi Durga’.
Carta keluarga Adruja Wijayamala Singa. 
(Sila klik gambar di atas untuk melihat dengan lebih jelas).
Lebih menarik lagi, Adruja merupakan keturunan Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa, Maharaja Srivijaya-Malayu (Palembang-Jambi) dari dinasti Mauli. Menurut manuskrip Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), nama sebenar maharaja tersebut ialah Demang Lebar Daun. Nama 'Adruja Wijayamala Singa' dikatakan berasal dari bahasa Sanskrit, di mana:
  • ‘Adruja’ ialah kependekan bagi sebutan “adhi raja” yang bermaksud raja yang besar, mulia, tinggi darjatnya, yang utama, yang terbaik dan pemuka pasukan perang;
  • ‘Wijayamala’ pula merujuk kepada sejenis bunga seroja sakti yang dikatakan dapat menghidupkan orang mati; manakala
  • ‘Singa’ pula merupakan satu variasi bagi sebutan “simha” yang bermaksud singa - raja segala haiwan.
Carta salasilah leluhur atau nenek-moyang Adruja Wijayamala Singa.
(Sila klik gambar di atas untuk melihat dengan lebih jelas).
KEHIDUPAN AWAL

Adruja dilahirkan pada zaman di mana Grahi sedang menghadapi ancaman perang dari kerajaan Siam Sukhothai yang diperintah oleh Raja Rama Khamhaeng (1237/47-1317). Raja yang berketurunan Siam (atau Thai) ini merupakan seorang yang sangat zalim.
Kedudukan Grahi (atau juga dikenali sebagai Jawaka)
terletak di kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu.
(Sila klik gambar di atas untuk melihat dengan lebih jelas).
Raja Rama Khamhaeng dikatakan mahu meluaskan tanah jajahannya ke arah selatan (Semenanjung Tanah Melayu) tetapi telah dihalang oleh nenda Adruja yang bernama Raja Sakranta atau Raja Aminuddin (1253-1267). Setelah Raja Sakranta mangkat, takhta kerajaan Grahi telah diserahkan kepada ayahanda Adruja yang bernama Raja Sang Tawal (Sultan Muhammad).

Sebagai Maharaja Grahi yang baharu, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya dibina sebuah kota yang teguh demi menghalang tentera Siam Sukhothai dari menceroboh masuk ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah siap, kota tersebut diberi nama Kota Grahi.

Sejak dari usia kanak-kanak lagi, Adruja dikatakan pandai menunggang kuda dan bermain senjata seperti kelewang. Meskipun perilaku baginda menyerupai lelaki, namun Adruja dikatakan amat menyukai wangian kayu cendana yang telah dicampurkan ke dalam minyak wangi yang diperbuat daripada bunga melur. Ia adalah satu kesukaan khas yang menunjukkan bahawa Adruja masih ada sifat kewanitaan.
Adruja menyukai wangian yang diperbuat
daripada bunga-bungaan dan kayu-kayan.
PEMBAWA BENDERA GRAHI

Setelah umurnya mencecah belasan tahun, Adruja sentiasa menjadi pembantu ayahandanya di medan perang. Puteri tersebut biasanya dibenarkan membawa bendera kerajaan Grahi ketika Raja Sang Tawal pergi berperang dengan tentera Siam Sukhothai. Pengalaman berada di medan perang telah membantu Adruja membiasakan diri dengan melihat keganasan perang dalam segala aspek.

Setelah perang berakhir, Adruja akan membantu membalutkan luka dan memberi minuman kepada mana-mana tentera ayahandanya yang cedera. Melihatkan keadaan tentera Grahi yang kurang semangat juang serta rakyatnya yang sentiasa berundur, maka tergeraklah di hati puteri tersebut untuk membentuk satu pasukan khas yang terdiri dari kaum wanita.

Selain untuk membantu kaum lelaki di medan perang, tujuan pasukan khas wanita tersebut ditubuhkan adalah untuk membela nasib kaum wanita Melayu di Grahi yang sering diperkosa oleh tentera Siam Sukhothai tatkala mereka menyerang kampung-kampung yang jauh dari Kota Grahi. Selain itu, Adruja juga mahu membuktikan bahawa kaum wanita juga setanding dengan kaum lelaki walaupun di medan perang.

SYARAT PERKAHWINAN
Gambaran wajah dan pakaian yang
dipakai oleh Adruja Wijayamala Singa.
Cadangan Adruja untuk membentuk satu pasukan khas wanita telah diusulkan kepada ayahandanya, Raja Sang Tawal. Pada mulanya, Raja Sang Tawal enggan memperkenankan cadangan puterinya itu kerana tugas kaum wanita pada zaman tersebut hanya terhad kepada kerja memasak dan membantu merawat kecederaan tentera di medan perang sahaja.

Namun begitu, Raja Sang Tawal berubah fikiran dengan serta-merta setelah mengenangkan tindakan puteri kesayangannya itu yang pernah beberapa kali mempertahankan bendera kerajaan Grahi ketika di medan perang. Raja Sang Tawal akur lalu memperkenankan cadangan Adruja itu.

Pada masa yang sama, baginda cuba untuk menyelamatkan Adruja dengan mengahwinkan puteri tersebut. Walau bagaimanapun, Adruja terus menolak rancangan ayahandanya itu dengan berkata:
"Ayahanda mahu kahwinkan anakanda? Tidak! Sesiapa yang mahukan
anakanda, sila bertarung senjata satu lawan satu. Jika menang, boleh".
 
Melihatkan ketegasan dan kedegilan puteri tersebut, akhirnya Raja Sang Tawal terpaksa mengalah dan mengikut sahaja kehendak puterinya itu.

Bersambung di bahagian kedua.



What Next?
Link To This Page:


Link To Home Page:



Subscribe to Addicted Online or subscribe in as a reader

0 Responses to PUTERI MELAYU YANG DILUPAKAN. Part 1

Post a Comment

Follow Addicted-Online

Advertisement

Recent Posts

Subscription