Salam, terlalu banyak jika hendak saya perkatakan mengenai masyarkat melayu dan budayanya. Tetapi apa yang perlu difahami ialah elemen kemanusiaan menjadi perkara paling penting dalam setiap diri manusia yang bernama melayu itu, yang bermaksud orang melayu itu sangat peka akan rasa atau perasaan orang lain. Budaya bukan sahaja memaparkan seluruh kemampuan akal dan budi, namun kemampuan akal itu telah menuntut orang melayu untuk meggunakan seluruh kuderat, daya dan usaha dalam meneroka khazanah alam, melalui kerja dan karya. Alam sebagai sumber budaya bendawi boleh dimanipulasikan untuk kepentingan sendiri. Interaksi dengan alam bukan sekadar melahirkan pengalaman kehidupan tetapi juga melahirkan kiasan, misalan ,analogi, perbilangan, perumpamaan, peribahasa, pantun dan sebagainya untuk dijadikan panduan kehidupan. Seluruh khazanah falsafah sosial ini lahir daripada pengamatan orang melayu terhadap alam.
Saudara sekalian, orang melayu mampu mengkategorikan, menyusun dan mengklasifikasikan seluruh khazanah herba yang dihasilkan oleh hutan tropika di sekitarnya. Mereka kenal segala tumbuhan, mereka tahu khasiat dan fungsi setiap akar kayu, kulit kayu, teras kayu, daun kayu,buah kayu dan pucuk kayu. Mereka juga paham akan ikan di air, segala binatang di hutan, segala unggas dan serangga yang berterbangan di udara, kokok ayam dan kicau burung, mereka tahu bila hari akan siang dan bila kan malam. Segala sumber alam adalah ilmu kepada mereka. Seorang pelombong akan meminta bantuan kepakaran pawang bijih untuk menyeru agar bijih dapat dikeluarkan dari tempat asalnya. Pawang bijih menyeru melalui pengetahuan ilmu asal usul galian atau logam berkenaan. Gabungan antara ilmu bendawi dan bukan bendawi digunakan, antara yang natural dan super natural disatukan untuk mencapai matlamat. Gabungan ini juga boleh disebut sebagai sains awal melayu.
Asal embun menjadi air,
Asal air menjadi buih,
Asal buih menjadi batu
Asal batu menjadi bijih.
Bomoh pawang dan dukun adalah manusia melayu yang istimewa. Mereka bukan sahaja memahami fakta alamiah, tetapi juga memahami yang bukan alami atau ghaib. Mereka boleh berkomunikasi dengan yang ghaib, boleh memanipulasikan kuasa ghaib untuk kepentingan manusia. Ilmu ini dinamai magis oleh para pengkaji antropologi. Pawang ular,pawang buaya, pawang gajah, pawang kayu, pawang besi dan pawang bijih, malah bomoh urut mampu menghuraikan kepada kita unsur-unsur asal usul setiap kejadian, baik manusia mahupun bukan manusia. Jika kita membaca atau mendengar mantera-mantera yang digunakan oleh pawang-pawang dan bomoh ini maka kita akan temui ilmu asal-usul kejadian ini. Sebagai contoh pawang buaya perlu mengetahui asal usul buaya tersebut dan akan menyerunya menggunakan jampi serapah yang mempunyai unsur-unsur kejadian haiwan tersebut. Pawang dan bomoh serta dukun ini bolehlah dianggap sebagai saintis melayu tradisional atau awal.
Seperti juga saintis yang harus mengetahui asal kejadian sesuatu haiwan yang dikajinya daripada embrio atau telur maka pawang ini juga mempunyai ilmu mereka yang tersendiri untuk mendefinisikan asal kejadian haiwan tersebut. Pendek kata pawang-pawang haiwan ini boleh dianggap sebagai ahli zoologi melayu tradisional. Mereka bukan sahaja perlu mengetahui asal usul sesuatau haiwan tersebut malah perlu mengetahui jenis makanan kesukaannya, habitatnya dan tabiat haiwan tersebut. Tugas ini tidak ada bezanya dengan seorang zoologist profesional pada zaman ini. Pawang gajah misalnya perlu mengetahui konsep gajah berang yang memerlukan beliau memahami psyikologi seekor gajah kerana gajah adalah sejenis haiwan yang pintar. Pawang gajah harus tahu apakah perkara yang boleh menyebabkan si gajah naik berang dan si gajah tenang semula. Ilmu ini juga perlu untuk diaplikasikan bagi menangkap gajah yang liar. Pawang gajah juga harus mempelajari cara membuat ubat-ubat tertentu untuk digunakan kepada gajah. Malah pada suatu ketika mungkin pawang gajah dikehendaki membuat gajahnya berang bagi tujuan taktik peperangan. Semua ilmu ini harus dimiliki oleh seorang pawang gajah selain daripada bantuan ilmu supra natural. Oleh itu yang membezakan diantara pawang gajah dan seorang ahli zologist hanyalah dari sudut metodologi yang digunakan mereka. Yang satunya bersandarkan rasional saintifik dan yang satu lagi berdarkan peng-alam-an dan ilmu rasa serta bantuan ghaib.
Seorang bidan dan tukang urut pula perlu memahami struktur anatomi tubuh badan manusia baik lelaki mahupun wanita. Mereka tahu akan segala urat, nadi, tulang, otot dan kedudukan organ-organ dalam tubuh tanpa perlu mebedahnya. Apabila diurut mereka bukan sahaja mengurut urat dan otot malah menekan, menggosok seluru badan untuk memastikan kelancaran perjalanan darah. Semua ini saya alami secara peribadi kerana nenek saya adalah seorang bidan kampung yang sering mengurut. Beliau mampu mengetahui bahagian mana yang paling perlu diurut dan bahagian mana yang perlu dibiarkan. Beliau juga mampu mengetahui punca sesuatu sakit itu berlaku . ghal ini boleh disamakan dengan kedah diagnosis yang dijalankan oleh para doctor moden. Malah ada bidan atau dukun yang boleh mendiagnos pesakitnya hanya dengan melihat caranya bernafas, berjalan, memek muka dan cara pesakitnya bercakap. Walau semoden manapun ilmu perubatan yang kita punyai sekarang namun pada suatu ketika ada juga penyakit yang tidak dapat diubati oleh para doktor moden dan hanya boleh diubati oleh dukun, tabib dan bidan sahaja.
Mengikut teori melayu apabila perjalanan darah itu lancar, tubuh akan pulih dan sihat. Perkara inilah yang sering keluar dari mulut nenek saya. Hal ini menunjukkan bahawa bomoh dan bidan melayu faham akan unsur yang empat iaitu air, api, tanah dan angin yang digunakan bukan sahaja untuk mengesani ketidak seimbangan tetapi juga keserasian. Perkara ini saling tidak tumpa seperti konsep Ying dan Yang dalam masyarakat cina. Matlamat ilmu melayu yang terakhir adalah mereka mengutamakan keseimbangan dan keserasian setiap unsur alam, lantaran ilmu sains proto mereka ini berpaksi pada hukum alam, namun ini bukan bermakna mereka mengamalkan survival of the fittest seperti yang didogmakan oleh Darwin, tetapi mereka mengutamakan keseimbangan atau equilibrium, homeostasis.
Apabila saintis tradisional ini berinteraksi dengan alam ghaib , mereka bukan sahaja dapat mengawal dan memanipulasi tetapi dapat menggunakannya untuk kepentingan kolektif masyarakat. Mereka memanipulasi segala makhluk ghaib untuk menganiaya manusia lain, mereka juga menggunakan makhluk gahib untuk perlindungan dan kerja-kerja berat. Mereka tahu dimana ruang tempat duduk makhluk tersebut, samaada di air, di laut mahupun di darat. Orang melayu mengkategorikan segala unggas, binatang dan serangga hanya memiliki semangat dan nyawa tetapi manusia mempunyai roh, semangat dan juga nyawa. Sehubungan dengan itu orang melayu mampu mengkategorikan hieraki kegaiban. Dikemuncak pyramid ialah tuhan yang maha esa, dibawahnya ialah segala malaikat, kemudian segala dewa dan jin, diikuti segala roh para anbiya dan wali, diikuti pula dengan roh nenek moyang, segala penuggu hantu raya dan jembalang tanah, puaka air, mambang tanah dan semangat.
Dari alam sekitar juga mereka dapat memahami dan menaakul bahawa batas sempadan alam ini adalah terlalu luas suajana mata memandang, tetapi mereka meletakkan penanda juga dari sumber alam seperti bukit bukau, gunung ganang, kaki langit, pokok sungai dan lain-lain. Alam yang makro kosmos ditandai dari muka bumi ke kaki langit dan terus keawan. Mereka mengetahui bahawa langit itu berlapisan, mereka tahu ada bulan dan bintang serta ada matahari. Mereka juga tahu tentang air, tali air, punca air, mata air, tali arus, pasang surut laut, mereka tahu tentang masa dan hubungan masa, pergerakan bulan dan hubungannya dengan sumber ikan, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Secara mikro kosmos mereka tahu tentang jarak, masa dan ruang. Mereka mengukur jarak dengan sejengkal, sehasta, serantai, mereka juga mengukur masa denga ukuran jarak, seperti segalah, sepuntung, sepurnama ,sepekan dan selikur atau 20 hari.
Ilmuan melayu mempunyai pengetahuan proto sains ialah seorang yang dapat mengenal, mahupun menyusun dan membuat penjenisan disamping mengetahui asal usul serta faktor sebab dan akibat dan peranan setiap persoalan yang dikemukakan. Walaupun ada yang pandai dan tahu malah mahir dalam hal tertentu seperti bomoh, dukun, pawang ,bidan , pemimpin adat dan panglima tetapi terdapat satu lagi kategori ilmuan melayu yang penting terutama semenjak orang melayu memeluk agama islam. Ilmuan tersebut digelar pak lebai, tok guru, tok alim, ulama dan ustaz. Kelompok ini adalah orang istimewa yang menguasai ilmu berkenaan keagamaan. Tradisi Islam di alam melayu melahirkan ramai ilmuan Islam yang banyak menulis kitab-kitab jawi dalam pelbagai bidang keagamaan. Tradisi keberaksaraan juga turut berkembang melalui agama Islam, tulisan jawi menjadi tulisan melayu. Seluruh kesultanan melayu di alam melayu memiliki khazanah ilmu agama yang kini terdapat di pasantren, pondok dan dayah.
Namun demikian masuknya unsur tradisi barat ke alam melayu telah banyak menghakis dan meruntuhkan seluruh ilmu budaya melayu dan menjadikannya sebagai mitos, tidak ilmiah, tidak rasional, tidak menguntungkan dari segi pekerjaan dan sebagainya. R.O Winsted misalnya telah memainkan peranan memperkecilkan perundangan melayu yang dimasukkannya sebagai salah satu daripada korpus kesusasteraan melayu seperti Hukum kanun Melaka dan undang-undang Johor serta lain-lain. Karya-karya ini tidak dianggap sebagai sebuah karya undang-undang melayu tetapi sebaliknya sebagai karya sastera. Malahan seluruh penulisan keagamaan dikategorikan oleh beliau sebagai sastera kitab dan tidak dilihat sebagai sumber ilmu agama Islam hasil karya ulama tempatan.
Secara halus R.O Winsted dan mereka yang sepertinya sudah memainkan peranan meruntuhkan korpus ilmu sains dan proto sains melayu. Kita juga tanpa disedari terperangkap tanpa ada usaha menolak klasifikasi R.O Winsted dan merekonstruksi semula berdasarkan kesesuaian zaman. Dengan kemunculan dan pengukuhan tradisi berbahasa inggeris, dan barangkali pada masa kini kita orang melayu tidak boleh menegur sesuatu pihak, apakah mungkin pintu akal budi melayu akan tertutup. Pada saat ini seluruh korpus dan khazanah melayu dilihat dalam kerangka tradisi moden, saintifik atau tidak saintifik, maka apa jua yang keluar dari budaya melayu dinilai tradisional, tidak saintifik berbanding yang barat, moden dan saintifik. Malah seluruh sejarah melayu disebut mereka penuh dengan unsur campur aduk antara fakta dengan fantasi. Penulisan historiografi melayu seperti Sulalatus Salatin, Hikayat merong mahawangsa, Misa melayu, Hikayat Banjar, Hikayat Pasai dan lain-lain Cuma sesuai disebut sebagai karya historiografi berunsur sastera sahaja. Seluruh sistem ukuran dan konsepsi ruang melayu yang tidak jelas, kurang asas matemalicalization dilihat kurang saintifik dan tidak mekanikal. Selain daripada usaha barat merosakkan ilmu melayu, orang melayu sendiri juga berkeyakinan kepada idea ilmu barat dan turut memberikan penilaian yang sama bodoh. Oleh itu marilah kita berusaha untuk menyingkap tabir akal melayu. Membuka pintu ilmu melayu dan membentang alam ketamadunan melayu seluas-luasnya. Sekian, wallah hu a’lam.
0 Responses to Perubatan Orang Melayu Dan Kaitannya Dengan Sains