Pelakon Scha Al Yahya menganggap watak wanita kasar yang sering diberikan kepadanya bukanlah satu masalah kerana ia adalah kekuatan pada dirinya.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai negatif kerana yakin pihak pengarah atau penerbit mempunyai sebab-sebab tertentu memberikan watak seperti itu.
"Masalah watak stereotaip ini bukan sahaja saya seorang yang alami kerana pelakon lain turut berhadapan perkara sama namun saya sebagai pelakon melihatnya dari sudut positif.
"Saya sentiasa diberikan peranan sama mungkin disebabkan itu adalah kekuatan saya dan barangkali watak serius dan romantik sesuai dengan pelakon lain," jelasnya kepada mStar Online.
Katanya, jika diberi peluang dia sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran tersebut demi memantapkan lagi kariernya dalam bidang lakonan.
"Saya tiada watak tertentu yang diidamkan namun jika diberi peluang berilah apa pun saya akan lakukan kerana itulah kerja saya sebagai pelakon.Sementara itu, Scha berkata, dia agak gementar apabila pertama kali turun ke set penggambaran filem Awan Dania The Movie di bawah arahan Rashid Sibir.
Jelasnya, perasaan itu timbul kerana dia berasa malu dengan Rashid yang sangat dikaguminya.
"Selama beberapa hari juga saya berperasaan begitu tetapi syukur Abang Rashid sangat mesra dan sentiasa membantu para pelakon untuk menghayati watak diberikan.
"Tambahan Awan Dania versi filem berlainan dengan apa yang ditonjolkan dalam drama bersirinya membuatkan saya perlu fokus kepada visi yang dimahukan oleh pengarah," jelasnya.
0 Responses to Scha Tiada Masalah Sering Terima Watak Wanita Kasar