Kita semua tahu tentang Peristiwa Banjir Besar yang disebut di dalam Al-Quran (atau sekurang-kurangnya pernah mendengarnya) yang berlaku pada zaman Nabi Nuh AS. Banjir besar ini tersangat luarbiasa hingga menenggelamkan segala bukit & gunung. Jika setinggi gunung sudah tentu ia melibatkan seluruh dunia.
Rakaman daripada bencana ini juga diperolehi di seluruh dunia, ada perbezaannya, mengikut aliran fikiran masing-masing. Tapi kata kuncinya sama; "manusia banyak dosa"-"Tuhan turunkan bencana banjir"-"kapal"-"binatang diselamatkan"-"manusia pendosa terkorban"-"generasi baru".
1. Sumeria
Epik Gilgamesh menceritakan "Tuhan-tuhan" mahu membersihkan dunia yang sarat dengan manusia namun memberi petanda kepada Utnapishtim melalui mimpi. Utnapishtim & beberapa tukang membina kapal 7 tingkat lalu menghimpunkan ahli keluarga, tukang-tukang dan "benih segala penghidupan".
Banjir melanda selama 6 hari 6 malam dan "Tuhan-tuhan" berasa "menyesal" lalu menyurutkannya pada hari ketujuh. Kapal itu mendarat di puncak Gunung Nisur iaitu satu-satunya tanah terselamat. Burung merpati & layang-layang dilepaskan namun kembali semula kerana tiada tempat untuk mereka bertenggek.
Beberapa hari kemudian mereka melepaskan burung gagak & setelah ia tidak kembali selepas 7 hari maka barulah mereka berasak-asak keluar. Utnapishtim membuat korban kepada "Tuhan-tuhan" lalu dia & isterinya dikurniakan kehidupan abadi di penghujung dunia.
2. Babylon
Pada setiap 1200 tahun (iaitu 3 kali, setakat ini..) "Tuhan-tuhan" berasa terganggu dengan keramaian manusia. Dewa Enlil menasihatkan Tuhan agar memusnahkan seluruh manusia dengan banjir namun Dewa Enki sempat memberitahu Atrahasis agar membina bahtera untuk menyelamatkan diri.
Kapal diisi dengan ternakan, binatang liar, mergastua dan ahli keluarga Atrahasis. Mereka yang terselamat akhirnya mendarat setelah banjir surut untuk membina kehidupan baru.
3. Yahudi
Lantaran manusia yang banyak melakukan dosa maka banjir diturunkan dan berlangsung selama 40 hari 40 malam. Selepas 150 hari banjir mulai surut dan bahtera Nabi Nuh (Noah) terdampar di Pergunungan Ararat. Selepas 10 bulan puncak Ararat dapat dilihat dan 40 hari kemudian Nabi Nuh membuka tingkap bahteranya. Setahun 10 hari selepas banjir barulah segala isi kapal dikeluarkan.
4. Zoroastris (Agama Parsi lama)
Ahura Mazda memberi amaran kepada Yima bahawa bencana banjir akibat kecairan ais akan melanda dunia yang penuh kedosaan ini. Ahura mengarahkan Yima membina kapal dan diisi dengan tanaman, binatang kecil & besar secara berpasangan.
5. Hindu
Manusia pertama, Manu, telah menyelamatkan ikan kecil daripada dimakan ikan besar. Manu memelihara ikan tersebut sehingga besar lalu melepaskannya kembali ke lautan.
Disebabkan budi, ikan itu bertemu semula Manu dan memberi amaran akan banjir dan memberitahunya agar membina kapal. Manu membinanya dan mengumpulkan setiap binatang. Apabila banjir melanda kapal Manu dibawa ke puncak gunung dengan bantuan ikan dan tinggal di situ.
6. Greek-Rom
Tuhan Zeus mahu menghukum manusia akibat kejahatan mereka dan memberitahu dewa-dewa lain bahawa dia akan mengurniakan ternakan dan bangsa manusia yang baru. Pada asalnya Zeus mahu menggunakan kilat & petir namun membatalkannya kerana teringatkan bahawa takdir telah menentukan akan tiba satu masa laut, bumi dan langit akan bernyala dengan marak dan seluruh penyangga alam akan runtuh binasa.
Dengan bantuan Poseidon, Zeus menurunkan ribut & gempa hingga menenggelamkan segenap tanah kecuali puncak Gunung Parnassus. Neptune turut melontarkan trisulanya ke bumi hingga sungai dan lautan menjadi satu.
Hanya satu pasangan manusia, Deucalion & Pyrrha, terselamat kerana diberitahu oleh Themis ketika pasangan ini sedang beribadat. Mereka membina kapal dan terdampar di puncak Gunung Parnassus.
-->
7. Aztek (Mexico)
Seorang alim bernama Tapi diberitahu oleh Pencipta agar membina kapal untuk didiami dan setiap pasangan binatang bersamanya. Jirannya menganggap dia telah gila. Sejurus kapalnya siap dibina hujan turun mencurah-curah dan banjir melanda. Manusia berlari ke puncak gunung namun turut tenggelam. Tapi terselamat.
8. Andaman
Di kepulauan Andaman terdapat kisah Tuhan Agung, Puluga yang tinggal di langit. Puluga mencipta dunia dan manusia namun apabila manusia mulai lupa pada Penciptanya maka Puluga menjadi murka lalu menghantarkan banjir menenggelamkan seluruh dunia dan menghapuskan manusia. Hanya 4 orang sahaja yang terselamat iaitu Loralola, Poilola, Kalola dan Rimalola.
9. Miao (China)
Orang-orang Miao dan Yao di Guizhao menceritakan kisah dua beradik Fu Xi dan Nu Gua yang berhubungan baik dengan Tuhan Kilat yang memberikan mereka benih labu. Apabila banjir besar melanda, mereka berlindung di dalam buah labu dan hanya mereka berdua terselamat.
Mereka berkahwin dan beroleh segumpal daging yang kemudiannya dihiris ke beberapa bahagian. Hirisan itu akhirnya ditiup angin ke serata dunia lalu menempatkan kembali manusia di dalamnya.
10. Hawai
Lagenda Hawai menceritakan banjir Kaiakahinalii di mana semua kehidupan terbunuh kecuali Nuu dan keluarganya yang kemudiannya meneroka semula dunia setelah bahtera mereka mendarat di puncak Gunung Mauna Kea.
11. Batak
Naga Padoha, naga yang menanggung bumi di atas tubuhnya berasa terganggu akan bebannya. Dia menggoncang tubuhnya dan membuang bumi ke laut. Dewa Batara Guru melontarkan sebuah gunung ke dalam air untuk menyelamatkan anak perempuannya. Dari situ, bangsa manusia diperturunkan dan tersebar.
0 Responses to 11 Banjir Besar Yang Pernah Melanda Dunia