Dokumentari Penawanan Bangunan AIA 1975
Drama rampasan bangunan AIA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur oleh anggota Tentera Merah Jepun (JRA) pada tahun 1975 benar-benar menggemparkan negara.Namun 35 tahun berlalu, tidak ramai yang masih ingat dengan peristiwa tragis tersebut, apatah lagi di kalangan anak muda dewasa ini.
Razlin K. P Hanifah ketika itu masih belum lahir sewaktu peristiwa tersebut berlaku.Namun anak muda lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) ini percaya, sesuatu harus 'dilakukan' bagi memastikan peristiwa berkenaan tidak luput ditelan zaman.
Razlin K. P Hanifah (kanan sekali) bersama kru dan anggota Tentera Merah Jepun (JRA) sewaktu di Tokyo, Jepun.
Ini penting kerana banyak pengajaran dan iktibar boleh diangkat kesan daripada kejadian itu.
Saya mengenali Razlin sewaktu kami bersama-sama bertugas di FM Production Sdn.Bhd, sebuah syarikat produksi yang banyak menghasilkan dokumentari tempatan untuk disiarkan di Astro.
Kami kemudiannya membawa haluan masing-masing setelah menghabiskan kontrak tugasan di syarikat produksi berkenaan. Hanya Razlin yang memilih untuk terus bersama Astro dan kini merupakan penerbit di saluran Astro Arena.
Namun saya begitu berbangga kerana rupa-rupanya beliau berjaya menyiapkan dokumentari tersebut dengan jayanya, lebih dari itu, beliau juga telah berjaya menemubual anggota JRA sendiri di Tokyo, Jepun.
Menurut Razlin, kerja-kerja awal pembikinan dokumentari itu bermula dengan kerja-kerja penyelidikan yang turut dilakukan dua orang rakan setugasnya, Sheith Faikis dan Nik Naemah dalam bulan Oktober 2007 dengan sasaran untuk ditayangkan di awal tahun 2008.Permulaan mereka agak sukar. Sumber rujukan mereka pada masa tersebut hanyalah surat khabar, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara.
Daripada surat khabar tersebut mereka menghubungi wartawan-wartawan yang tertera nama mereka pada by-line akhbar. Di situ juga terdapat nama beberapa tebusan-tebusan terbabit.
Bekas wartawan yang mereka temui menyarankan mereka bertemu dengan tiga individu penting drama tebusan tersebut iaitu Allahyarham Tan Sri Ghazalie Shafie (yang masih hidup semasa dokumentari ini diterbitkan), Tun Hanif Omar (bekas Ketua Polis Negara) dan Datuk Zaman Khan (bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.Pada masa yang sama kajian masih juga berjalan untuk mencari tebusan-tebusan yang terbabit.
Mereka telah ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini untuk bertemu dengan seorang kakitangan rakyat tempatan mereka yang telah menjadi tebusan kejadian itu.Beliau telah memberi maklumat tentang kejadian tersebut tetapi tidak mahu ditemuramah untuk dokumentari ini. Menurutnya beberapa kakitangan tempatan kedutaan AS yang menjadi tebusan telah bersara dan pulang ke negara itu.
Seterusnya mereka telah menemui isteri bekas pegawai tinggi polis yang turut menjadi tebusan. Beliau sedikit sebanyak turut membantu dalam penyelidikan ini namun tidak mahu ditemuramah untuk dokumentari ini.
Mereka kemudiannya telah menemui bekas pemandu Kedutaan Sweden yang turut diserbu pengganas JRA. Namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan (percanggahan fakta), temuramah beliau tidak dapat disiarkan.Justeru itu, orang pertama yang mereka temuramah untuk dokumentari ini ialah seorang pakar pemusnah bom, Datuk Panglima Jamil, individu yang bertanggung jawab memusnahkan bom yang dibawa oleh perampas.Individu seterusnya yang ditemuramah ialah Kapten Hassan, bekas juruterbang Penerbangan Malaysia.
Beliau telah diminta untuk standby oleh King Ghaz. Beliau terlibat setelah pesawat JAL yang membawa tujuh anggota JRA dari Jepun (sebagai pertukaran dengan tebusan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.
Pada masa rundingan dijalankan, pihak kerajaan Jepun cuba melengahkan pertukaran tebusan dengan memberi alasan juruterbang JAL memerlukan rehat sebelum terbang ke Libya dan pelbagai alasan lain.
Ghazalie Shafie mengugut untuk merampas pesawat JAL (Kapten Hassan on standby) dan mempercepatkan proses pertukaran tebusan dan penerbangan ke Libya.Temuramah bersama Zaman telah memberi gambaran yang lebih tepat tentang taktikal pihak polis dan bagaimana mereka bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.Razlin juga telah dapat menemuramah Sukhdev Singh, seorang pengawal keselamatan di bangunan tersebut. Semasa kejadian beliau telah ditembak di muka oleh perampas semasa pergi menyiasat bunyi tembakan di tingkat sembilan (tempat kejadian).
Daripada temuramah-temuramah yang telah dijalankan, cerita ini tidak cukup kuat untuk diangkat untuk menjadi sebuah dokumentari. Apa yang mereka ada hanyalah fakta kejadian namun tidak seorang pun bekas tebusan yang mahu tampil untuk diwawancara.Pada masa yang sama, pencarian diteruskan untuk mencari bekas tebusan di luar negara. Razlin kemudiannya mendapat lampu hijau daripada penerbit eksekutif, jika keadaan memerlukan, beliau dibenarkan untuk ke luar negara bagi menemuramah bekas tebusan yang berada di luar negara.
Razlin kemudiannya menghubungi Kedutaan Sweden untuk mendapatkan maklumat mengenai dua kakitangannya, Bergenstrahle dan Odqvist yang menjadi tebusan. Beliau pada mulanya kecewa apabila diberitahu bahwa Bergenstrahle telah meninggal dunia dan Odqvist tidak dapat mereka jejaki.
Tidak berputus asa, Razlin kemudiannya mencari maklumat mengenai Ulla Odqvist di Internet.Hasil carian agak sukar kerana nama tersebut adalah nama panggilan di Sweden.Hasil carian di Internet juga, Razlin dan teman-temannya melakukan proses elimination di mana individu yang bernama 'Ulla Odqvist' yang berumur bawah 50 tahun dan tidak pernah bekerja di Malaysia atau Asia Tenggara, dikeluarkan daripada senarai pendek mereka.Hasilnya, hanya tinggal beberapa orang sahaja 'Ulla Odqvist' yang perlu mereka hubungi untuk mendapatkan kepastian.
Alhamdulillah, 'Ulla Odqvist' yang pertama mereka hubungi ialah 'Ulla Odqvist' yang sebenar yang pernah menjadi tebusan di bangunan AIA. Beliau agak terkejut menerima panggilan telefon kami dan menyangka tidak ada sesiapa yang akan mengingati kejadian tersebut.Setelah mendapat kepastian dan beliau juga bersetuju diwawancara untuk dokumentari ini. Setelah dibuat perhitungan, adalah lebih baik dari segi kos dan nilai estetika dokumentari ini, untuk dibawa Ulla Odqvist ke Malaysia.
Mereka hanya membayar tiket kapal terbang, tempat tinggal, makan minum dan 'elaun' untuk beliau dan seorang anaknya. Dari segi kos, ia adalah penjimatan kerana kos untuk membawa crew penerbitan ke negara itu adalah lebih mahal.Apabila berada disini, Ulla Odqvist dibawa kembali ke tempat kejadian. Beliau juga telah membawa beberapa keping gambar bilik kedutaan Sweden yang telah digeledah semasa drama tebusan tersebut. Beliau berada di sini selama seminggu. Kedatangan beliau kali ini ialah kali pertama sejak kejadian tersebut berlaku.
Pada masa yang sama berusaha untuk menjejaki Tan Sri Osman Cassim dan Dato Ramli Omar yang terbabit dalam pertukaran tebusan dan terbang bersama pegawai tinggi Jepun dan anggota JRA ke Tripoli, Libya sebagai cagaran.
Razlin dan teman-temannya berjaya menjejaki Osman melalui Internet, namun malangnya mereka diberitahu Ramli telah meninggal dunia. Setelah berjaya menghubungi Osman, temujanji telah dibuat untuk menemuramah beliau bersama Ulla Odqvist.Temuramah mereka telah berjaya mempertemukan dua individu yang terlibat secara langsung dengan drama tebusan tersebut.
Melalui mereka berdua, Razlin telah mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku di dalam bangunan AIA - daripada Ulla Odqvist - semasa drama tebusan tersebut dan juga gambaran di dalam kapal terbang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tripoli (daripada Osman).
Ini bermakna cerita mengenai drama rampasan tersebut telah lengkap. Atas sifat ingin tahu, Razlin ingin mengetahui apa yang berlaku sebelum dan selepas rampasan tersebut, dan kenapa Malaysia dipilih sebagai sasaran dan bukannya negara lain. Jawapan kepada persoalan tersebut hanya ada pada anggota JRA.
Dibawah ini mungkin gambar ketua JRA Fuzako Shigenobu:
Sambungan mengenai penyediaan dokumentari ini bersambung di bahagian ketiga....
0 Responses to ::.. Japanese Red Army(Part 2) ..::