Sejak menjalinkan hubungan percintaan selama tiga tahun dan mendirikan rumah tangga pada 3 November lalu, sememangnya Farid Kamil dan Diana Danielle menjadi antara pasangan selebriti yang sering diperkatakan ramai.
Bermula dengan kisah percintaan mereka, majlis pertunangan secara senyap-senyap, membuat pengumuman tarikh perkahwinan secara mengejut sehinggalah pakaian semasa majlis resepsi, semuanya pernah menimbulkan kontroversi.
Menurut Farid, sebagai seorang individu berstatus selebriti segala yang berlaku itu sememangnya sukar dielakkan, tetapi dia perlu tenang untuk berhadapan dengan setiap kontroversi yang melanda dirinya.
Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Metrowealth Pictures (MIG) di bangunan MIG, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Farid menyatakan, dia menerima segala cerita negatif membabitkan dirinya dengan hati terbuka.
Mengakui telah mengenal pasti individu yang selalu mereka-reka cerita buruk mengenai dirinya sejak belum berkahwin lagi, buat masa ini dia enggan mengambil sebarang tindakan atau bersemuka dengan individu tersebut.
"Saya sudah lama tahu orang yang bertanggungjawab memburuk-burukkan nama saya selama ini dan sangat kenal dengannya. Cuma saya tidak mahu ambil kisah langsung dengan segala perbuatannya itu.
"Bagi saya orang tersebut sebenarnya sangat tertekan dengan kehidupan yang dilaluinya dan saya cuma mendoakan yang terbaik buat dirinya," jelas Farid yang enggan mendedahkan dengan lebih lanjut tentang individu berkenaan.
Farid Kamil dan Diana Danielle |
Ujarnya, dia berasa cukup terhina dengan pendedahan yang dibuat oleh blogger berkenaan menerusi blog peribadinya tanpa mengetahui apakah agenda di sebalik perbuatannya itu.
"Tidak kira apa sahaja cerita kurang baik tentang diri saya yang diperkatakan, saya masih lagi boleh bersabar dan dapat menerimanya. Namun begitu, perbuatan yang dilakukan oleh blogger itu langsung tidak beretika.
"Buat masa ini saya tidak mahu ambil apa-apa tindakan, tetapi pihak MIG sekarang sedang meneliti setiap tulisan blogger tersebut dalam blognya itu untuk tindakan seterusnya," jelasnya.Bagaimanapun, Farid telah meluahkan harapannya supaya mana-mana pihak yang gemar mengaibkannya itu supaya lebih bertimbang rasa memandangkan isterinya yang sedang mengandung ketika ini.
"Kalau boleh saya memang cuba elakkan Diana yang kini sedang berada di Australia untuk ambil tahu tentang segala cerita mengenai diri saya di sini.
"Sebagai suami saya tidak mahu emosi isteri saya yang kini sedang berbadan dua terganggu apabila masih timbul lagi cerita negatif yang membabitkan kami berdua," ujarnya.
0 Responses to Farid Kamil Kenal pasti dalang cerita negatif - Gosip Artis Terkini